Friday, May 30, 2014

Kes bunuh komando di Lahad Datu: 13 anggota tentera direman

Seramai 13 anggota tentera termasuk suspek utama insiden tembak di Lahad Datu kelmarin, direman lapan hari mulai semalam, bagi membantu siasatan kes berkenaan yang menyebabkan seorang komando maut serta dua orang awam cedera.

Semua anggota tentera berusia 20 hingga 40 tahun itu, kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu sejurus prosiding reman di lokasi sama, selepas mereka ditahan dalam gerakan di sekitar Lahad Datu.

Susulan tangkapan mereka, polis merampas 13 laras senjata api termasuk disyaki digunakan suspek yang juga anggota komando dari Rejimen Gerak Khas (RGK), dalam insiden di hadapan sebuah premis serbaneka 24 jam di bandar Lahad Datu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Sabah, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata semua anggota tentera yang ditahan itu dipercayai berada di lokasi kejadian ketika kekecohan yang menyebabkan seorang daripada mereka melepaskan beberapa das tembakan.

Rasa tidak puas hati

Beliau berkata, polis percaya kejadian terbabit berpunca daripada rasa tidak puas hati empat anggota tentera selepas dikatakan dihalang pekerja sebuah pusat hiburan untuk membawa masuk minuman daripada luar ke premis berkenaan.

“Keadaan itu menyebabkan tercetusnya pertengkaran di antara empat anggota tentera terbabit dengan seorang pekerja kelab hiburan yang terletak di tingkat atas bangunan, sebelum berlarutan di depan sebuah kedai serbaneka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi kelmarin, Lans Koperal Mohd Fiffixezafey Mat Husin, 28, dari Pasir Puteh, Kelantan, meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Lahad Datu selepas terkena tembakan pada dada kiri.

Siasatan di tempat kejadian menemui kelongsong peluru jenis 5.56 milimeter serta kesan tompokan darah. Polis enggan mengesahkan jenis senjata yang digunakan suspek dalam insiden terbabit.

Artikel Terkait