Wednesday, June 11, 2014

Warga Sabah Maut dalam Pergaduhan di Kinarut


PAPAR: Seorang lelaki tempatan yang ditemui terdampar di tepian jalan berhampiran Kinarut, Jalan Papar Lama, disahkan meninggal dunia di hospital selepas terbabit satu kes pergaduhan pada pagi kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Casthillo Maladan, 40, dari Kampung Sulim, Papar itu dikatakan mengalami kecederaan parah di bahagian kepalanya selepas dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi berkenaan.

Terdahulu, dalam kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi itu mangsa telah dikatakan pergi ke sebuah premis di Kinarut dipercayai meminum minuman keras di situ bersama seorang rakan.
Bagaimanapun, mangsa difahamkan terbabit dengan pergaduhan dengan sekumpulan lelaki yang turut berada di premis itu.

Sejurus kemudian, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di tepi jalan dan digegaskan ke Hospital Daerah Papar namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.40 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintenden George Abd Rakhman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata belum ada tangkapan dilakukan setakat ini.

“Polis mengesahkan kejadian ini dan berdasarkan maklumat awal mangsa telah terlibat dalam pergaduhan dengan sekumpulan lelaki di lokasi itu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Papar susulan kecederaan parah di bahagian kepala yang dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul,” katanya di sini kelmarin.

Beliau dalam pada itu menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden berkenaan untuk segera tampil bagi membantu siasatan.

“Masyarakat awam yang mempunyai maklumat juga boleh menghubungi talian 088-912222 bagi membantu siasatan kes itu.

“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan kita sedang berusaha dari segenap aspek mengesan suspek terlibat serta mengenalpasti motif kejadian itu,” katanya lagi.

Kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

BORNEO POST
Gambar : Sumber melalui whatsApp

Artikel Terkait