Gambar Hiasan sumber Google |
Anda mengalami sakit tekak, dan hingus yang asyik meleleh-leleh dari hidung anda tanpa henti, seperti paip bocor! Anda pun terus mengheret diri anda ke klinik yang berdekatan. Apabila selesai berjumpa dengan doktor yang merawat anda, anda terkejut apabila membuka plastik putih yang diberi oleh kaunter ubat klinik tersebut. Doktor peramah yang merawat anda sebentar tadi terlupa untuk memberi ubat antibiotik kepada anda! Sebelum anda naik angin dan meredah masuk ke dalam klinik itu semula untuk menuntut ubat antibiotik-penawar mujarab semua penyakit anda itu tadi, berhentilah sejenak dan berfikir. Mesti ada sebab mengapa antibiotik tidak diberikan sebagai sebahagian daripada rawatan anda.
Antibiotik merupakan sejenis ubat yang dapat membantutkan pertumbuhan dan memusnahkan mikroorganisma atau kuman. Antibiotik kerap kali digunakan untuk merawat jangkitan penyakit yang boleh didapati di hospital dan juga di kalangan masyarakat. Para doktor dikehendaki untuk menjalankan pemeriksaan klinikal kesihatan yang terperinci seperti mengambil sejarah penyakit pesakit, menjalankan pemeriksaan kesihatan fizikal, dan ujian-ujian kesihatan yang tertentu, untuk mengetahui jenis penyakit yang dihidapi setiap pesakit yang datang kepada mereka. Jika punca utama tanda-tanda penyakit atau simptom yang terdapat pada pesakit adalah disebabkan oleh jangkitan kuman, doktor itu akan cuba meramal organisma yang menyebabkan jangkitan tersebut dan memilih antibiotik yang paling sesuai untuk memusnahkan organisma yang mungkin menyebabkan jangkitan itu tadi.
Antibiotik akan berkesan jika digunakan untuk merawat penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria, jangkitan kulat yang tertentu dan beberapa jenis jangkitan parasit yang lain. Walaubagaimanapun, antibiotik tidak akan berkesan untuk merawat jangkitan penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus. Antibiotik tidak sepatutnya diberikan kepada pesakit apabila penyakit itu bukan disebabkan oleh jangkitan bakteria, seperti apabila pesakit mengalami sakit selsema dan batuk biasa sahaja. Menggunakan antibiotik untuk mengubati penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus tidak akan menyembuhkan simptom penyakit tersebut, tetapi ia akan menyebabkan tubuh anda mengalami rintangan kepada antibiotik itu pula!
Telah sedia maklum, penggunaan antibiotik atau penyalahgunaan antibiotik merupakan pendorong utama terjadinya masalah rintangan tubuh terhadap antibiotik. Kini, ia telah menjadi fakta yang tetap dan diiktiraf benar. Oleh itu, semua doktor and pesakit perlu berhati-hati dan mengambil kira beberapa faktor sebelum mengambil antibiotik yang diperskripsikan.
Keperluan: Adakah antibiotik diperlukan?
Hendaklah terdapat bukti atau syak yang kuat bahawa ejen penyebab penyakit adalah disebabkan oleh mikroorganisma atau kuman yang menyebabkan tanda-tanda dan gejala jangkitan, serta harus ada keputusan makmal yang positif terhadap mikroorganisma tersebut.
Organisma yang kerap menyebab penyakit
Jenis antibiotik yang diberikan adalah berdasarkan pengetahuan doktor yang merawat anda terhadap jenis organisma atau kuman yang paling biasa dan kerap menyebabkan penyakit-penyakit tertentu. Mengetahui mengenai jenis organisma yang biasanya menyebabkan penyakit tertentu juga bermakna kecenderungan mengetahui jenis antibiotik yang terbaik untuk mengubati penyakit tersebut.
Spektrum Ubat Antibiotik
Spektrum ubat antibiotik adalah rangkaian pelbagai jenis organisma yang dapat dirawat dengan menggunakan ubat antibiotik tersebut. Memilih spektrum antibiotik yang sesuai bergantung kepada banyak faktor seperti tahap teruknya penyakit tersebut, mikroorganisma yang terlibat dan sama ada pesakit mempunyai faktor-faktor kesihatan yang lain seperti mempunyai penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan lain-lain.
Kos yang efektif
Memilih antibiotik yang salah atau memberi antibiotik yang tidak diperlukan akan menyebabkan peningkatan kos penjagaan rawatan kesihatan (kos keseluruhan dan kos-kos antibiotik yang disebabkan oleh kegagalan rawatan dan kesan sampingan yang berkaitan dengan penggunaan ubat yang tidak sesuai) yang tidak berpatutan. Manakala, penggunaan antibiotik yang optimum dan bila perlu sahaja, bukan sahaja membawa manfaat dari segi klinikal, malah juga membawa manfaat kepada ekonomi, kerana pesakit dapat sembuh lebih cepat dan kembali ke aktiviti harian sertakerja mereka dengan lebih awal.
Jika antibiotik digunakan untuk merawat penyakit di mana ia tidak sepatutnya digunakan, seperti selsema, batuk atau penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus, maka antibiotik tersebut akan menjadi kurang berkesan terhadap bakteria yang sepatutnya ia dapat ubati. Satu lagi faktor penyumbang ke arah masalah rintangan antibiotik adalah pesakit yang tidak mengambil antibiotik mengikut dos dan jangka masa yang betul dan telah ditetapkan.
Mengambil antibiotik hanya untuk beberapa hari dan tidak menghabiskan tempoh lengkap antibiotik, akan menyebabkan antibiotik itu hanya mampu membunuh sejumlah kecil bilangan bakteria di dalam badan anda sahaja, atau langsung tiada! Bakteria yang masih hidup di dalam tubuh anda pula akan menjadi lebih kebal terhadap keupayaan antibiotik. Bakteria-bakteria yang kebal rintangan ini pula akan merebak ke ahli masyarakat yang lain.
Apabila bakteria menjadi kebal kepada rawatan barisan pertama, risiko komplikasi dan kematian meningkat. Kegagalan antibiotik barisan pertama untuk merawat penyakit bermakna para doktor perlu menggunakan antibiotik barisan kedua dan ketiga. Ubat-ubatan ini adalah lebih mahal dan dikaitkan dengan lebih banyak kesan sampingan berbanding dengan antibiotik barisan pertama.
Oleh itu, jika anda mengalami selsema biasa pada masa depan, sila ingat bahawa kemahiran dan pengetahuan doktor anda mengetahui jenis antibiotik yang sesuai, amatlah penting untuk memastikan anda menerima rawatan yang terbaik. Antibiotik hanya perlu dimakan apabila keadaan pesakit memerlukannya. Sebagai seorang pesakit, pengetahuan mengenai keperluan dan kepentingan penggunaan antibiotik yang betul adalah penting untuk membantu dalam memerangi penyalahgunaan antibiotik dan mengelak daripada rintangan antibiotik daripada terus berleluasa.
Dr. Hidayatul Radziah Ismawi merupakan Ketua Editor “The Malaysian Medical Gazette”. Beliau akan melanjutkan pelajaran beliau ke peringkat Doktor falsafah (PhD) di dalam bidang Farmakologi pada akhir tahun ini dan kini merupakan pensyarah perubatan di sebuah universiti tempatan di Malaysia. Baca lebih lanjut mengenai beliau di Laman ini di bahagian “The Team page”. Artikel ini diterjemah oleh Dr Diana Joseph Jawa dari artikel ini.
Saya bukanlah seorang doktor sekadar ingin berkongsi. Semoga Bermanfaat.