Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang memiliki rekod jenayah lampau kes dadah mati, manakala lima lagi rakannya cedera selepas ditembak seorang lelaki di Jalan Ipoh di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4.50 pagi itu, Saravanan Selvaraja atau lebih dikenali dengan nama Joe, berusia 38 tahun, bersama lima lagi rakannya sedang duduk minum di depan Restoran Umar Rani, Jalan Batu 4 off Jalan Ipoh, sebelum dihampiri seorang lelaki yang berpura-pura membuat panggilan telefon.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata terdahulu lelaki terbabit dipercayai adalah suspek utama didapati turun dari sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna kelabu hijau muda, dalam anggaran 80 meter dari lokasi kejadian.
“Sebaik turun dari kereta, suspek yang kononnya sedang berbual menerusi telefon bimbit berjalan perlahan-lahan mendekati meja mangsa sebelum mengeluarkan pistol dan melepaskan lapan das tembakan ke arah Saravanan dan rakannya.
“Suspek kemudian melarikan diri ke arah kereta sama yang menunggunya tidak jauh dari restoran berkenaan sebelum memecut keluar ke arah Jalan Ipoh dan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.
Katanya, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan suspek yang berkulit cerah dan berbadan kurus serta memakai topi merah ketika kejadian menyasar setiap satu tembakan ke arah setiap mangsa.
“Sehingga kini kita masih menyiasat motif sebenar kejadian ini namun tidak menolak kemungkinan terdapat elemen balas dendam serta masalah membabitkan kumpulan samseng.
Sumber : Berita harian