Friday, May 16, 2014

Operasi Buru Perokok Dalam Kenderaan Awam!

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan sedang melaksanakan pengkuatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 yang melarang aktiviti menghisap rokok dalam kenderaan awam termasuk bas, teksi, keretapi, komuter, bot dan feri.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, pengkuatkuasaan peraturan itu bertujuan melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok pasif.

“Ia juga bertujuan membudayakan amalan tidak merokok dalam kalangan masyarakat dengan menghadkan kawasan merokok terutama di kawasan tumpuan orang ramai.

“Operasi itu turut melibatkan kerjasama pihak polis dan beberapa jabatan dan agensi kerajaan lain,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Lokman Hakim berkata, operasi itu antara lain memberi tumpuan terhadap aktiviti merokok penumpang dan pemandu kenderaan awam serta memastikan kenderaan awam mempamerkan tanda larangan merokok.

Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dikompaun maksimum RM5,000, denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua.

Manakala, katanya, kegagalan mempamerkan tanda larangan merokok dalam kenderaan awam boleh dikompaun maksimum RM1,500, denda maksimum RM3,000 atau penjara maksium enam bulan.

Menurut beliau, operasi itu pada tahun lalu mencatakan pengeluaran kompaun bernilai RM95,250.

NewsHub

Artikel Terkait