KUALA LUMPUR 2 Jun - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun bertindak nekad terjun keluar daripada trak pikap yang sedang bergerak, semasa kenderaan itu dilarikan penjenayah di Jalan Au3/1, Keramat di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu berlaku ketika mangsa mengikut bapanya ke sebuah bengkel kenderaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, bapanya kemudian turun tanpa mematikan enjin dan kesempatan itu digunakan seorang penjenayah berusia 30-an untuk melarikan pikap itu.
"Namun semasa dilarikan dalam jarak sejauh 700 meter, mangsa nekad membuka pintu lalu terjun untuk menyelamatkan diri. Dia yang cedera di bahagian pinggang, tangan, kaki dan punggung kemudian diselamatkan orang awam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Khairuldin, pihaknya memburu suspek serta kenderaan yang dilarikan untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan berkumpulan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak meninggalkan ahli keluarga dan kenderaan mereka dalam keadaan enjin dihidupkan kerana memberi peluang berlakunya jenayah.