TAWAU: Sebuah lori tangki di sini terbabas mengakibatkan tumpahan minyak kelapa sawit sejauh 50 meter di Jalan Merotai yang berlaku kira-kira jam 1.21 petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzex berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.21 petang dan tiba pada jam 2.02 petang.
Katanya, seramai lima anggota diketuai PBK II Kasdi Latimin dengan satu jentera bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setiba di tempat kejadian pihaknya mendapati memang benar berlaku tumpahanan minyak kelapa sawit di atas jalan raya sejauh 50 meter.
“Pasukan Bomba bertindak mengawal keadaan jalan dan menghubungi pihak polis dan syarikat bertanggungjawab Globinaco untuk kawalan trafik dan untuk kerja pembersihan,”katanya.
Jelasnya, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dalam kejadian tersebut.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah, Supt. Keong Ho Eng berkata, enam anggota polis telah dihantar ke lokasi kejadian bagi mengawal lalu lintas.
Manakala katanya, pihak kontraktor Globinaco pula telah menaburkan serbuk hampas kelapa sawit dan pasir di permukaan jalan licin bagi mengelakkan kemalangan.
Keong berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 19 LN 166/59 (muatan jatuh atas jalan).