KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata Pelan Induk bagi projek pemulihan semula Pembangunan Eko Tanjung Aru (TAED) telah dimuktamadkan dan diluluskan baru-baru ini oleh Lembaga Pengarah Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAEDSB).
Musa yang juga pengerusi TAEDSB berkata pelan induk pembangunan bersepadu itu akan dibentangkan bagi pertimbangan Kabinet negeri tidak lama lagi.
“Pelan induk bagi TAED telah dirancang dengan teliti bagi memulihkan pantai Tanjung Aru dan Prince Philip Park bagi masyarakat di Kota Kinabalu dan rakyat Sabah, di samping menjadi projek pemangkin bagi merangsang pertumbuhan dan pelaburan.
“Pantai Tanjung Aru dan Prince Philip Park yang diberi nafas baharu itu merupakan asas penting kepada projek pemulihan TAED.
“Pelan induk itu bertujuan untuk menangani masalah hakisan dan pencemaran yang merosakkan pantai Tanjung Aru dan telahpun menjejaskan Prince Philip Park.
“Pantai Tanjung Aru dan Prince Philip Park tidak dapat dipisahkan daripada identiti Sabah, dan ia bukan dan tidak akan dijual, ” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
TAEDSB merupakan pemaju induk projek pemulihan TAED dan dimiliki 100 peratus kerajaan negeri Sabah. Tiada pemilikan sektor swasta dalam TAEDSB.
Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata projek itu dijangka menarik pelaburan bernilai RM5 bilion serta meningkatkan industri pelancongan Sabah dan apa yang lebih penting ia akan mewujudkan peluang pekerjaan bagi generasi sekarang dan masa depan.
Beliau berkata kerajaan negeri telah memastikan TAED dirancang dengan teliti dengan mengambil kira semua aspek pembangunan dan selama lebih dua tahun, TAEDSB telah mengkaji antara lainnya kesan alam sekitar, kelestarian alam sekitar, kualiti air dan reka bentuk landskap.
Ini bagi memastikan pantai dan taman itu dilindungi daripada kesan keseluruhan pembangunan semula pantai, katanya.
“Pelan induk itu memberikan penekanan besar kepada keperluan bagi ruang terbuka, kemudahan masyarkat, landskap, ciri-ciri alam sekitar lestari dan mematuhi standard Indeks Bangunan Hijau.
“Akan ada laluan untuk berjoging dan berbasikal; perkhidmatan pengangkutan ulang alik percuma menggunakan bas elektrik dan kemudahan lain bagi pengguna pantai dan taman,” katanya.
Dengan projek pemulihan itu, TAEDSB boleh meningkatkan profil Sabah di samping merangsang pertumbuhan dan pelaburan yang sekali gus mewujudkan lebih banyak permintaan bagi hasil tanaman petani tempatan, hasil nelayan, kraftangan penduduk kampung dan khidmat kemahiran juru pandu.
“Kami mahu mewujudkan peluang baharu dan pekerjaan baharu bagi anak-anak kita dan anak-anak di masa hadapan agar mereka mempunyai masa depan yang mapan di sini di Sabah,” kata Musa. – Bernama
SABAHTIMES