KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana kenderaan yang menggunakan cermin gelap tanpa kebenaran.
Timbalan Ketua Pengarahnya Datuk Ariffin Che Mat berkata, sekiranya ada kenderaan golongan kenamaan dipasang cermin gelap tanpa kebenaran, maka tindakan tetap diambil.
Menurutnya, cermin gelap hanya dibenarkan untuk kenderaan yang mana pemandu menghadapi masalah kesihatan seperti tidak boleh terdedah dengan cahaya matahari atau atas faktor keselamatan.
“Kita (JPJ) sentiasa konsisten dalam menjalankan tugas dan tidak memberi kelonggaran kepada mana-mana pihak sekiranya melanggar peraturan termasuk memasang cermin gelap pada kenderaan tanpa kebenaran.
“Masyarakat perlu tahu kebanyakan golongan kenamaan mempunyai kebenaran untuk menggunakan cermin gelap terutama atas faktor keselamatan,” ujarnya pada sidang media selepas penutupan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Bahagian Kuching di sini, semalam.
Beliau berkata, permohonan untuk menggunakan cermin gelap perlu dihantar kepada ibu pejabat JPJ dengan disertakan surat sokongan doktor pakar kerajaan atas faktor kesihatan dan polis untuk keselamatan.
Ariffin berkata, JPJ masih tidak membenarkan penggunaan cermin gelap di kalangan masyarakat umum kerana bimbang akan disalah guna terutama untuk kegiatan jenayah.
“Bagaimana untuk kita kenal pasti penjenayah kalau cermin gelap?” ujarnya.
Malah, menurutnya, JPJ tidak mempunyai cadangan untuk mengubah kadar ketelusan cahaya yang mana ketika ini 70 peratus untuk cermin hadapan kenderaan dan sekurang-kuranya 50 peratus untuk cermin bahagian lain.
Beliau menambah, kenderaan yang keluar daripada kilang juga sebenarnya tidak mempunyai cermin gelap.
“Sebenarnya cermin gelap yang biasa kita lihat pada kenderaan import adalah nilai tambah yang dibuat pengedar bukannya pengilang,” jelasnya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dan Pengarah JPJ Sarawak Ibrahim Othman.