Saturday, May 17, 2014

Wanita menyamar jururawat dicekup

BINTULU: Gara-gara ter­lampau taksub dengan pro­fesion jururawat, seorang wanita tempatan berumur 20-an dicekup oleh penga­wal keselamatan di Hospital Bintulu kerana berkelakuan mencurigakan di hospital berkenaan sekitar jam 11 pagi semalam.

Semasa ditahan, wanita terbabit sekadar tersenyum selamba sambil berkata dia berasa selesa memakai baju jururawat kerana terlalu meminati kerjaya itu.

Selepas ditahan, wanita itu yang mendakwa dirinya tinggal di sebuah kuarters pembinaan di sini dibawa oleh pengawal bertugas ke bahagian pengurusan hospital dan pemeriksaan mendapati namanya tiada dalam senarai kakitangan hospital.

Melihat akan keadaan itu, pihak hospital menghubungi Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil ke atas wanita terbabit.

Menurut sumber, wanita terbabit pernah beberapa kali dilihat merayau-rayau di hospital, namun kakitan­gan hospital itu tidak pernah menyedari bahawa selama ini mereka telah bergaul dengan penyamar.

Difahamkan, wanita itu pernah terlibat dalam kes penipuan iaitu berpura-pura dilanda kesusahan sehingga mangsa meminjamkannya kereta, namun akhirnya kereta yang dipinjamkannya itu tidak dikembalikan.




Artikel Terkait