Friday, May 16, 2014

Kraftangan Malaysia Sasar RM60 Juta Jualan Produk Kraf Di Sabah

KOTA KINABALU, 16 Mei (Bernama) -- Kraftangan Malaysia menyasarkan hasil jualan produk kraf Sabah sepanjang tahun ini mencecah sehingga RM60 juta.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk Mohd Kamil Mohd Ali berkata ini berikutan bilangan usahawan di Sabah kini mencecah 4,000 orang dengan pelbagai aktiviti dan promosi kraf diadakan sepanjang tahun di negeri ini.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan perolehan nilai jualan sebanyak RM400,000 sepanjang 17 hari kempen promosi Kraf Malaysia sempena sambutan Pesta Kaamatan bermula Jumaat.

"Sasaran itu berdasarkan kedudukan lokasi di pusat beli-belah Suria Sabah yang menjadi tumpuan para pengunjung serta pelancong memandangkan promosi ini julung kali diadakan di pusat beli-belah ini," katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat.

Mohd Kamil berkata promosi itu disertai 70 usahawan termasuk lima dari Semenanjung merangkumi pelbagai bidang kraf termasuk sembilan usahawan daripada bidang kraf tekstil manakala 61 daripada bidang lain seperti hasil rimba, logam dan aneka kraf.

Beliau berkata enam aktiviti demonstrasi kraf sambil menjual daripada bidang anyaman turut diadakan iaitu pembuatan produk sompoton, anyaman bemban, anyaman buluh, anyaman buluh (produk nyiru) dan anyaman rumbia.

Di samping itu, kata Mohd Kamil, persembahan kesenian juga diadakan sebagai aktiviti sokongan bagi mengetengahkan seni dan budaya masyarakat Sabah seperti muzik gambus, tarian masyarakat tradisional, peragaan fesyen, cabutan bertuah, kuiz dan pertandingan bintang kraf Kaamatan.

"Sejumlah 200 orang dari pelbagai jabatan serta agensi kerajaan dan pertubuhan terlibat bagi program lawatan berpandu sempena promosi kraf ini," katanya.

Beliau berkata kempen itu, antara lain bertujuan memberi peluang kepada pengusaha kraf memasarkan produk kraf negara selain menjadi tempat pertemuan peniaga, pengusaha dan pemborong kraf dari seluruh negara.

Mohd Kamil berharap warga Kota Kinabalu dapat bersama-sama memeriah dan menjayakan pameran dan kempen promosi kraf Malaysia peringkat negeri sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

-- BERNAMA

Artikel Terkait