KENINGAU: Seramai lima orang pendatang tanpa izin (PATI) telah ditangkap dalam Operasi Cantas Khas yang dijalankan oleh PDRM dari IPD Keningau di sekitar kawasan pekan Keningau pada Isnin.
Operasi Cantas Khas itu diketuai oleh Pemangku Ketua Polis Daerah ASP Awang Damit berserta empat pegawai yang terdiri daripada ASP Lee Nyuk Kim, Insp Ronaidi, Insp Roning, Insp Khairu dan 17 anggota IPD Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintenden Polis (DSP) Robert Salisip @ David ketika dihubungi berkata, operasi berkenaan telah dijalankan di tiga lokasi di kawasan pekan iaitu di sekitar kawasan pasar umum, kawasan Maybank, dan kawasan Milimewa Keningau.
“Dalam pemeriksaan yang kita jalankan di sekitar kawasan pasar umum, kita telah menangkap 13 orang yang disyaki PATI namun setelah pemeriksaan lanjut dijalankan, 12 orang yang didapati ada dokumen dan tidak terlibat dengan jenayah telah dibebaskan.
“Pemeriksaan yang kita jalankan di sekitar kawasan Maybank, kita telah menangkap 10 orang yang disyakki,namun setelah pemeriksaan lanjut dijalankan, lapan orang yang didapati ada dokumen dan tidak terlibat dengan jenayah telah dibebaskan.
“Dalam pemeriksaan yang kita jalankan di sekitar kawasan Milimewa Keningau, kita telah menangkap 11 orang yang disyaki, namun setelah pemeriksaan lanjut dijalankan, sembilan orang yang didapati ada dokumen dan tidak terlibat dengan jenayah telah dibebaskan,” jelas Robert.
Beliau berkata, kesemua tangkapan yang dibawa ke balai untuk dokumentasi adalah lelaki.
Katanya, jumlah keseluruhan hasil Operasi Cantas Khas yang dijalankan itu ialah 34 orang yang diperiksa, 29 orang dibebaskan, dan lima orang ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang berbangsa Tator, seorang Timor, seorang Visaya dan dua orang Bugis berumur dalam lingkungan 22 hinggs 55 tahun.
Robert berkata, operasi yang dijalankan bertujuan untuk pencegahan jenayah di sekitar pekan Keningau itu telah berjalan dengan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah.
Kredit : OLEH MARUTIN ANSIUNG marutin@newsabahtimes.com.my