Menjawab kenyataan tersebut, Ketua Jawatankuasa Aturcara Pentas yang juga merupakan Pegawai Perhubungan Pusat Khidmat Parlimen Beluran, Melton Martin (gambar) menafikan penganjur langsung tidak beri ruang untuk persembahan lagu.
Katanya, beliau sendiri melihat dan mendengar beberapa artis tersebut dijemput oleh pengacara untuk membuat persembahan lagu dan kelihatan kurang bersedia berbanding persembahan lain.
Menurutnya oleh kerana kekangan masa dan atur cara rasmi menyebabkan tidak semua mereka dapat dijemput membuat persembahan.”
“Saya bagi pihak penganjur mohon maaf kepada kumpulan artis tersebut dan minta mereka dapat memahami dan mendekati penganjur lebih awal, dan bukannya pada hari perayaan diadakan, mendesak pihak penganjur untuk masuk membuat persembahan terjun tanpa hadir ketika raptai penuh,” katanya kelmarin.
Dalam laporan sebuah akhbar tempatan semalam, sekumpulan penyanyi kelahiran daerah Telupid melahirkan kekecewaan serta ketidakpuasan hati mereka terhadap tindakan penganjur Kaamatan daerah itu.
Mewakili penyanyi-penyanyi terbabit, pengurus artis John Lingka dalam kenyataannya kepada Hiburan NST mendakwa penganjur menafikan peluang mereka untuk membuat persembahan di atas pentas walaupun telah diberikan ‘lampu hijau’ sebelumnya.
Melton berkata bagi pihak penganjur akan membawa maklum balas kumpulan artis berkenaan kepada pihak jawatankuasa penganjur untuk diperbaiki pada masa akan datang.
Katanya sesuai dengan tema kaamatan pada tahun ini, pihak terlibat juga digalakkan membantu memberi input kepada pihak jawatankuasa penganjur agar salah faham yang berlaku dapat dielakkan. -OLEH James Leong