Wednesday, May 28, 2014

Hukuman Penjara Bomoh Perogol Dilanjut

MAHKAMAH Tinggi Kuching semalam melanjutkan penjara ke atas pesalah rogol dari sembilan tahun kepada 15 tahun selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang memohon tempoh dilanjutkan kerana hukuman asal tidak memadai.

Hakim Datuk Yew Jen Kie membuat keputusan itu selepas pihak pendakwa raya mengemukakan rayuan agar tempoh penjara dilanjutkan ke atas seorang bomoh, Rais Mursyid Thoyib.

Yew berkata, walaupun niat tertuduh dari Indonesia itu mahu membantu orang yang mahu mendapatkan rawatan alternatif, dia tidak seharusnya mengambil kesempatan terhadap seorang gadis dengan memperkosakannya.

“Ini adalah ancaman kepada masyarakat dan adalah lebih selamat untuk melanjutkan tempoh penjara anda,” katanya.

Pada 10 Mac lepas, Rais dijatuhkan hukuman oleh hakim Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah merogol gadis berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kampung Dagang, Lundu kira-kira jam 5.35 pagi pada 23 Februari tahun lepas.

Dia disabit di bawah Sek­syen 376 (2) (f) Kanun Kes­eksaan.

Tertuduh datang ke rumah mangsa di Kampung Dagang di Lundu untuk merawat ibu mangsa, bagaimanapun tertuduh merogol dan men­cabul mangsa ketika emaknya sedang tidur.

Selain dikenakan hukuman penjara kerana kesalahan rogol, Rais turut dipenjara kerana melakukan kesalahan mencabul.

Dia dijatuhkan huku­man penjara 13 tahun dan dua sebatan kerana men­cabul gadis sama pada 7 Mac serta dikenakan denda RM10,000.

Hakim juga mengarahkan agar Rais menjalani hukuman baharu dikenakan ke atasnya secara berturutan dengan tempoh penjara sekarang menjadikan dia akan dipen­jara selama 28 tahun.

Sementara itu di kamar mahkamah sama, hakim melanjutkan tempoh pen­jara ke atas pesalah rompak dari dua tahun kepada enam tahun.

Sata Daong, 42, juga menerima teguran daripada hakim selepas tertuduh mem­beritahu mahkamah tentang nasib keluarganya.

Yew berkata dengan kead­aan fizikalnya yang sihat, banyak cara untuk tertuduh mencari nafkah yang halal ber­banding merompak orang.

Pada 14 Mac lepas, Mahkamah Sesyen men­jatuhkan hukuman ke atas Sata selepas mengaku mer­agut beg tangan seorang wanita Indonesia yang men­gandungi pasport mangsa di Jalan Sungai Moyan pada 31 Mac sekitar jam 9.50 pagi.

Sata dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan. Dia didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaaan.

DPP Poh Yin Tinn selaku pendakwa raya bagi kedua-dua kes tersebut.

BORNEOPOST

Artikel Terkait