Thursday, June 5, 2014

Taman Kinabalu Menang Anugerah Brandlaureate 2013-2014


KOTA KINABALU, 4 Jun (Bernama) -- Taman Kinabalu, Tapak Warisan Dunia pertama di Malaysia, dipilih sebagai pemenang "The Brandlaureate Country Branding Award 2013-2014" kerana memiliki beraneka jenis biota dan kepelbagaian.

Anugerah berprestij itu disampaikan kepada Taman Kinabalu dalam majlis penyampaian Anugerah Brandlaureate 2013-2014 pada 30 Mei anjuran Yayasan Jenama Asia Pasifik (APBF) di Kuala Lumpur.

Dalam satu majlis ringkas Rabu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun menyampaikan sijil dan trofi anugerah tersebut kepada pengurus Taman Kinabalu Justinus Guntabid.

APBF, yang ditubuhkan pada 2004, adalah sebuah pertubuhan bukan mencari keuntungan yang bermatlamat memajukan jenama dalam pelbagai latar belakang perniagaan dan diterajui perdana menteri Malaysia keempat Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Lembaga Pengelola yang dianggotai kapten industri berpengalaman dan ikon jenama terkemuka.

Anugerah Brandlaureate merupakan pengitirafan terhadap pencapaian bertaraf dunia mengenai penjenamaan kepada individu dan syarikat. Penerima anugerah itu kali ini ialah Perbadanan Putrajaya (Floria Putrajaya), Kapten James Anthony Tan dan Crystal Lee.

Sementara itu, dalam ucapannya, Masidi berkata Taman Kinabalu berhak menerima anugerah itu bukan sahaja kerana statusnya sebagai Tapak Warisan Dunia, tetapi juga kerana ia mempunyai jumlah spesies tumbuh-tumbuhan paling banyak bagi setiap unit kawasan di dunia.

Katanya Taman Kinabalu mempunyai 5,500 spesies tumbuh-tumbuhan di kawasan 30kmx40km dan menempatkan 866 spesies orkid, pakis (609), oka dan berangan (63), periuk kera (14), lumut dan liverworts (450), unggas (326), rama-rama (625), mamalia tanah rendah (90), mamalia pegunungan (22), ular (67), katak dan kodok (61) dan ikan (40).

"Lebih menarik lagi, dalam seharian mendaki, seseorang itu akan dapat mengalami musim bunga, panas, luruh dan sejuk. Dengan semua kelebihan itu, maka sudah semestinya ia berhak menjadi penerima The Brandlaureate Country Branding Award 2013- 2014," kata Masidi.

Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau berkata Taman Kinabalu kini sedang menyiapkan pembinaan sebuah asrama yang dilengkapi 28 katil di Laban Rata, yang akan diurus Taamn Kinabalu sendiri apabila beroperasi kelak.



-- BERNAMA

Artikel Terkait