Thursday, June 5, 2014

Mengaku rogol gadis bawah umur


KOTA BHARU 5 Jun - Perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang mekanik yang sanggup merogol cucu kenalannya yang berusia 16 tahun dan mengancamnya dengan sebilah parang mendapat pembalasan apabila dia dihukum penjara 12 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Mohd. Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu terhadap Rozlan Hamzah, 46, setelah lelaki itu hari ini mengaku bersalah merogol mangsa di sebuah rumah tanpa nombor di ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Embak, Kuala Krai.

Tertuduh didakwa merogol remaja itu dan menyebabkannya berada dalam ketakutan boleh dicederakan kerana diacu parang kecil antara pukul 12 tengah hari dan 3 petang, 15 November tahun lalu.

Dakwaan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam bela dibuat mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Menurut fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari, tertuduh yang dikenali dengan nama panggilan Deraman bekerja sebagai mekanik dan berkawan baik dengan datuk mang­sa.

Sebelum kejadian, tertuduh pergi ke rumah mangsa dan bertanya sama ada gadis itu tahu menunggang motosikal kerana i­ngin mengambil motosikal daripada kawannya di Tanah Merah.

Apabila mangsa memberitahu dia tahu menunggang motosikal, tertuduh telah mengajak gadis itu pergi mengambil motosikal bersamasamanya.

Dalam perjalanan, tertuduh telah melencong ke sebuah rumah di ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Embak iaitu rumah tertuduh.

Setelah berhenti di rumah tersebut, tertuduh telah mengacukan sebilah parang kecil ke arah mangsa dan mengarahkan gadis itu masuk ke dalam rumah lalu mengunci pintu rumah itu.

Gadis itu merayu tertuduh menghantarnya pulang namun tertuduh memarahi mangsa dan terus mengacukan parang lalu merogolnya.

UTUSAN ONLINE

Artikel Terkait