Tuesday, May 20, 2014

LOKASI “SEA-BASING” SESUAI ANTARA PERAIRAN KUDAT DAN TAWAU

KUALA LUMPUR, (19 Mei) — Lokasi pertengahan laut antara Kudat dan Tawau sesuai dijadikan pusat operasi di tengah laut atau dikenali Sea-Basing bagi mempertingkatkan pertahanan dan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah.

Bekas Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt Kamis Daming berkata lokasi itu sesuai untuk ditempatkan pelbagai kelengkapan seperti radar, helikopter, bot peronda dan bot pemintas.

“Lokasi pertengahan antara Kudat dengan Tawau sesuai untuk dijadikan sebagai Sea-Basing, yang menempatkan pelbagai kelengkapan seperti radar, bot-bot peronda, bot-bot pemintas dan helikopter,” cadangnya ketika dihubungi Bernama.

Sistem Sea-Basing, iaitu penempatan aset ketenteraan di tengah lautan, berkeupayaan memudahkan bantuan keselamatan disalurkan dengan lebih cepat.

Kamis juga mengesyorkan kerajaan segera mewujudkan pusat operasi tengah laut itu ekoran insiden penculikan dan pencerobohan pihak pengganas di kawasan pantai timur Sabah.

Pada 9 Mei lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya akan mengemukakan cadangan pelaksanaan sistem Sea-Basing kepada Jemaah Menteri secepat mungkin.

Cadangan itu dibuat berikutan kes penculikan seorang warga China Yang Zai Lin, 34, yang bekerja sebagai pengurus sebuah pusat penternakan ikan, di Pulau Baik, Lahad Datu, oleh lima lelaki bersenjata pada 6 Mei.

Terdahulu pada 2 April, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata melarikan seorang pelancong wanita warga China, Gao Hua Yuan, 29 dan seorang pekerja wanita warga Filipina, Marcy Dayawan, 40 dari sebuah pusat peranginan di Pulau Singgahmata, Semporna.

Artikel Terkait