Sunday, May 18, 2014

PASUKAN ESSCOM TAHAN 72 PENDATANG TANPA IZIN DEKAT TANDUO

LAHAD DATU: Seramai 70 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Gasak 9 yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Sinakut Lama, berhampiran Kampung Tanduo yang sebelum ini menjadi lokasi pendaratan kumpulan penceroboh Sulu, awal hari ini.
Pengarah Pertahanan ESSCOM Mejar Jen Datuk Masrani Paiman berkata kesemua mereka termasuk 12 wanita ditahan kerana tidak memiliki dokumen yang sah atau memiliki dokumen yang meragukan.
Berbeza dengan lapan Ops Gasak sebelum ini,  beliau berkata Ops Sinakut lama diketuai pegawai pemerintah (6 RAMD ) LT Kol Muhammad Fauzi yang dilancarkan selama dua jam bermula pukul 6 pagi itu hanya disertai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ops Sinakut lama (atau Ops Gasak 9) ini yang saya sifatkan sebagai operasi kerangka (framework operation) dilakukan ke atas sasaran yang dikenal pasti semasa ATM membuat rondaan rutin.
“Kita telah memeriksa sebanyak 54 rumah di kampung Sinakut lama dan seterusnya menahan 70 orang kerana tidak memiliki dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Masrani  berkata anggota ATM dan PDRM turut menangkap dua orang PATI  di Kampung Sungai Bilis, berdekatan Kampung Sinakut lama pada kira-kira pukul 9.55 pagi.
Beliau berkata Ops Gasak itu akan diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain di Zon Selamat Timur Sabah (ESSCOM), bertujuan membersihkan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) daripada pendatang tanpa izin.
ESSZONE merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau, dan daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.


Artikel Terkait