Thursday, June 12, 2014

Majikan Wajib Ambil Pekerja Asing 24 jam selepas Ketibaan


SEPANG: Majikan kini diwajibkan mengambil pekerja asing mereka di semua lapangan terbang yang menjadi pintu masuk negara dalam masa 24 jam selepas ketibaan berbanding 72 jam sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kegagalan mematuhi peraturan yang berkuat kuasa serta merta itu akan menyebabkan pekerja asing berkenaan dihantar pulang.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini kelmarin, beliau berkata peraturan itu adalah antara langkah diambil bagi mengurangkan kesesakan di lapangan terbang.

Katanya, kerajaan mungkin akan mengenakan bon kepada majikan dan jika mereka gagal mengambil pekerja dalam tempoh 24 jam maka bon itu akan dicairkan dan mereka juga akan menanggung kos penghantaran pulang selain majikan itu disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen.

“Selain itu, bagi penumpang transit kita juga telah memberi kelulusan kepada Malaysia Airports Holdings Bhd untuk memberi tempoh 24 jam sahaja kepada mereka untuk transit di lapangan terbang dan selepas tempoh itu syarikat penerbangan mereka bertanggungjawab untuk membawa mereka ke penerbangan yang lain,” katanya.

Beliau berkata, terdapat penumpang transit yang pernah tinggal di terminal selama 14 hari dan ia sesuatu yang tidak boleh diterima kerana menyebabkan kesesakan selain memburukkan imej lapangan terbang negara.

Berhubung klia2, Ahmad Zahid berkata memandangkan waktu puncak antara pukul 2 petang hingga 5 petang memberi kekangan kepada proses operasi imigresen di terminal berkenaan, kaunter tambahan terutamanya di kaunter ketibaan akan dibuka pada waktu tersebut.

“Anggota polis di lapangan terbang juga akan ditambah mengikut keperluan semasa dan tidak kurang daripada 100 orang anggota tambahan akan ditempatkan di klia2,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, penambahbaikan terhadap sistem kawalan imigresen juga dilakukan melalui penyertaan Jabatan Imigresen sebagai anggota Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang akan membolehkan sistem kawalan imigresen sedia ada diintegrasikan dengan sistem semakan kesahihan pasport pangkalan data ICAO di Kanada.

“Kami juga sedang menaik taraf sistem kawalan imigresen yang dilengkapi alat pengimbas pasport yang boleh membaca cip untuk kesahihan pasport dan juga sistem mengenal pasti wajah bagi tujuan mencegah penyamar. Sistem ini akan turut dinaik taraf untuk mengimbas pasport asing,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata Polis Diraja Malaysia bersama-sama Polis Antarabangsa (Interpol) akan bekerjasama bagi memantau dan mengakses dokumen perjalanan yang hilang atau dicuri secara masa nyata menggunakan sistem sedia ada selain mempunyai senarai suspek antarabangsa.

“Kita juga sedang berunding untuk melakukan pemeriksaan penumpang melalui “advanced passenger screening system” yang akan memperkasakan sistem kawalan di pintu masuk di sini dan di lapangan terbang lain,” katanya.

Selain itu, katanya, kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi juga akan dipasang di setiap kaunter di klia2 dan kaunter imigresen di seluruh negara.

Artikel Terkait