Saturday, June 7, 2014

Pesta Babulang Tarik Ramai Pengunjung

LIMBANG: Pesta Babulang memasuki edisi ke-11 penganjurannya tahun ini merupakan warisan dunia apabila dipromosikan di peringkat antarabangsa sekali gus menarik kehadiran ribuan pengunjung tempatan dan luar negara.

Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah berkata, sejajar dengan popularitinya Persatuan Bisaya Sarawak (PBS) wajar mempromosikan pesta ini dengan menyediakan pakej pelancongan lain yang mampu menambah pendapatan masyarakat setempat.

Katanya, PBS perlu memikirkan pakej promosi menyeluruh membabitkan logisitik bagi memudahkan pengunjung luar datang menyaksikan keunikan Pesta Babulang saban tahun.

“Dari segi promosi, kita akui Pesta Babulang kini sudah terkenal di seluruh dunia selepas aktiviti itu dimasukkan sebagai satu daripada warisan dunia yang mampu menarik kemasukan pengunjung luar,” katanya pada Perasmian Pesta Babulang dan Lumba ‘Karabau’ di Batu Danau semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Presiden PBS Antonio Kahti Galis, Timbalan Residen Limbang Selamat Jati, Pegawai Daerah Limbang, Hamdiah Bakir dan pengerusi pengelola, Peter Sawal.

Hasbi berkata, penganjuran Pesta Babulang menonjolkan keunikan dan keindahan budaya, cara hidup, makanan dan pakaian kaum Bisaya setiap tahun berjaya menarik kemasukan sekitar 10,000 pengunjung.

Dalam pada itu, Limbang mempunyai potensi dan kekuatan tersendiri dalam aspek pelancongan untuk dibangunkan dengan kewujudan monyet belanda, kelip-kelip, Pesta Babulang dan aktiviti menarik lain.
Katanya, kawasan Batu Danau juga mempunyai destinasi pelancongan seperti kawasan danau serta perkampungan yang cantik untuk pelaksanaan Inap Desa.

“Kita sudah bermesyuarat dengan pihak koperasi untuk mengusahakan projek inap desa memandangkan Limbang belum mempunyai inap desanya tersendiri selain di Mendalam,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Koperasi Parlimen turut berharap lebih ramai pengusaha dan pihak Koperasi melihat sendiri keadaan Inap Desa Kuala Medalam dan kawasan lain untuk dilaksanakan di daerah ini.
“Pelaksanaan inap desa merupakan satu bidang perniagaan untuk meningkatkan pendapatan dan mempunyai kemudahan selain menyediakan peluang pekerjaan serta membangunkan kemudahan, pekerjaan dan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Antonio berkata Pesta Babulang tahun depan dijangka diadakan di Pusat Kebudayaan Bisaya (PKB) bernilai lebih RM1 juta yang kini dalam proses pembinaan.

Fasa pertama pembinaan PKB kini sudah siap dan fasa kedua kini dalam tender dan apabila siap nanti ia berperanan bagi mempromosikan keunikan budaya dan adat resam Bisaya di peringkat kebangsaan.
Kemudahan itu amat diperlukan oleh masyarakat Bisaya di negeri ini untuk menonjolkan keunikan adat resam mereka yang kebanyakannya menetap di utara Sarawak.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk lumba ‘karabau,’ ‘kuntul’ berhias, pertandingan masakan tradisional kaum Bisaya dan aktiviti menarik lain.

Artikel Terkait