Friday, May 23, 2014

Kota Kinabalu, Sabah : Seorang Maut, Dua Cedera

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan terbunuh selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di lampu isyarat Sutera Harbour, Jalan Coastal di sini tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa dikenali sebagai Lanson Mahil, 40, dari Kinarut, Papar meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Terdahulu, sebelum kejadian berlaku mangsa yang memandu Perodua Kelisa itu sedang dalam perjalanan menuju ke Kepayan dari arah pusat bandar.

Setibanya di lokasi insiden, kenderaan mangsa dipercayai terempuh bahagian belakang kenderaan jenis Nissan Almera dan pada masa yang sama, muncul sebuah pacuan empat roda Isuzu Dmax lalu terlanggar bahagian belakang Kelisa dipandu mangsa.

Akibat rempuhan itu mengakibatkan Kelisa berkenaan hancur remuk dan mangsa turut dikatakan tersepit sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan sepasukan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi selepas mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) I.

Manakala dua lagi lelaki yang merupakan pemandu Nissan serta Dmax masing-masing berusia 30 dan 31 itu hanya mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Orang ramai yang ada menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

BORNEO POST

Artikel Terkait