Friday, May 23, 2014

Suspek samun bawa samurai diberkas

KOTA KINABALU: Seorang warga asing bertindak agresif dan cuba melarikan diri ketika polis memberkasnya kerana dipercayai terbabit dalam satu insiden samun bersenjata di Telipok, Isnin lalu.

Turut ditemui sebilah pedang samurai sepanjang kira-kira 24 inci pada baju suspek yang berusia 29 tahun itu. Dia ditahan di sebuah lokasi berhampiran Skim Perumahan Telipok, di sini kira-kira jam 9.45 malam pada Isnin.

Sebelum itu suspek dikatakan terlibat dengan satu kes samun bersenjata membabitkan seorang mangsa lelaki berusia 29 tahun di perhentian lampu isyarat Telipok.

Ketika kejadian kira-kira jam 4.30 petang Sabtu lepas, mangsa yang menunggang motosikal sedang berhenti di lampu isyarat berkenaan dan bertelefon sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali.

Mangsa kemudian diacukan sejenis senjata tajam, dipercayai sebilah pisau pemotong sayur oleh salah seorang suspek yang kemudian memaksa menyerahkan motosikal serta dompet dimiliki.

Selepas itu, kedua-dua suspek memecut laju menggunakan motosikal milik mangsa bagi mengelak disedari pengguna jalan raya lain.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan kerugian lebih RM4,000 selepas motosikal dan sejumlah wang tunai dilarikan oleh kedua-dua suspek.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya mengesan dan menahan salah seorang suspek terlibat berhampiran sebuah lokasi di Telipok.

“Berdasarkan maklumat dan risikan, sepasukan polis melakukan serbuan ke atas suspek di sebuah lokasi. Sebaik ditahan, suspek yang membawa sebilah samurai cuba bertindak agresif dan melawan, namun berjaya dipatahkan hasil ketangkasan anggota polis.

“Suspek kini ditahan reman, manakala polis masih melakukan buruan terhadap seorang lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Karamunsing kelmarin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.
 BORNEO POST

Artikel Terkait